Sunday, June 19, 2011

renungan untuk diri sendiri..............

Buatmu, Sayangku

0
Kepada insan yang aku sayangi,
Wahai sayangku, mengapa kau sering bersedih hati? Mengapa matamu yang indah itu sering kau basahi dengan airmata? Janganlah kau bazirkan airmata mu itu demi sesuatu yang tidak bermakna dan merugikan diri sendiri. Apakah kau lupa pada Pencipta kita? Ingatlah kau tidak pernah keseorangan tatkala kau merasakan dunia ini meminggirkan kau.
Tahukah kau bahawa hidup ini tidak sentiasa gembira dan ceria? Ujian itu tarbiyyah kepada kita. Kadang kala kita berasa begitu lemah dan tidak mampu menanggung bebannya.  Ada ketika kita berasa letih menghadapi ujian yang melanda diri.
Tapi ingatlah sayang, Allah s.w.t tidak akan menurunkan sesuatu ujian itu jika kita tidak mampu menghadapinya. Oleh itu, kau hadapinya dengan tenang dan sabar. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama dengan hamba-Nya yang sabar.Cuba kau renungi sepotong Kalamullah ini;
"Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya. Dia akan mendapat pahala atas usahanya dan mendapat seksa atas kesalahannya, (lalu dia berdoa): Ya Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau bersalah."(Surah Al-Baqarah 2:286)
Kau juga harus ingat, kesusahan dan kepayahan yang  dilalui hari ini akan mematangkan dan mewarnai hidupmu. Ingatlah pada Khaliq Maha Pencipta. Dia akan sentiasa berada di sisimu tidak kira kau dalam kesenangan mahupun kesusahan.Maka, sekalah airmatamu itu. Tabah dan teruskan perjuangan kau dengan aman. Berhentilah dari berkeluh-kesah kerana keluh-kesah itu datangnya dari bisikan syaitan durjana. Mintalah pada-Nya supaya kau diberikan kekuatan dan pertolongan dalam melalui dugaan hidup.
Sayangku, si manis.
Ingin aku layangkan setitip pesanan buat diri mu dan juga diri ku ini. Kita hanya menumpang hidup di dunia Allah yang fana ini. Dunia ini umpama kita berjalan di dalam hutan yang penuh dengan duri-duri yang tajam serta binatang buas yang sering kali kita tidak sedari. Kadang kala kita alpa dengan keindahan dan ketenangannya. Lupa pada bahaya yang setia menanti di hadapan sana. Jika kita tidak berhati-hati, kita akan terluka di cucuk duri-duri tajam yang berbisa itu. Kau akan merintih dan mengaduh kesakitan.Menangis dan mengharapkan pertolongan.
Sayang, kita harus berhati-hati kerana terdapat banyak binatang buas di dalam hutan yang sedang kau lalui itu. Mereka hanya menunggu masa untuk menyerang mangsanya. Andai kata kau tersilap langkah, kau akan diterkam dan dibaham oleh binatang-binatang itu. Begitulah jugalah kehidupan kita. Dalam mengharungi hidup yang penuh dengan ranjau berduri, kita sering berhadapan dengan masalah yang sering meyesakkan jiwa dan minda kita.
Kadang kala masalah itu sendiri meragut ketenangan hati sesorang insan. Fikiran melayang entah ke mana dan jiwa itu tidak pernah tenteram. Mulalah fikiran negatif berlegar-legar di minda. Pelbagai soalan bermain di benak fikiran.Hati tidak keruan memikirkan masalah. Insan yang lemah itu mula melupakan pada Penciptanya yang Maha Esa. Lupa segalanya.
Janganlah kau menjadi seperti itu. Jangan kau lupakan siapa yang mencipta dirimu dan apa tawajuh kehidupan kau sebenarnya sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini. Hilangkanlah segala kesedihan. Kau pujuklah hatimu dengan janji Ar-Rahman. Sesungguhnya kau akan berasa lebih tenang. La Tahzan, wahai sayang!
"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Surah Ali Imran:139)
Wahai sayang,
Aku mengerti apa yang kau rasakan di dalam hatimu itu. Jiwa kau terhimpit dengan penyesalan. Kau berasa gusar di atas kealpaan kau suatu ketika dahulu. Dirimu dipalit dengan dosa-dosa hitam. Aku sering mendengar kau merintih pada Allah s.w.t. tatkala kau berteleku di tikar sembahyangmu. Menangislah kerana Allah s.w.t. Jika kau mengalirkan airmata keinsafan, itu amat bermakna buatmu. Cara itu mampu mendekatkan kau dengan-Nya. Mintalah pada-Nya keampunan dan kemaafan. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Ambillah iktibar dari firman Allah s.w.t ini;
"Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku maka Aku mengampuni segala dosamu yang telah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu kau meminta ampun kepada-Ku nescaya Kuampuni. Wahai anak Adam, jika kau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku datang padamu dengan keampunan seluas bumi pula."(Riwayat Al-Tarmizi no: 3534 dan Al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah)
Jadikan kisah silammu itu sebagai pengajaran yang bermakna dalam hidup. Sematkanlah di dalam hati supaya kau tidak akan sesekali mengulanginya lagi. Berpegang teguh pada tali agamamu. Ingatlah pada ajaran Islam. Rasul bermadah bahawa "Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."  
 Kau harus ingat sayangku. Kau amat beruntung dilahirkan dalam Ad-Din yang sempurna ini. Teruskanlah dengan membasahi bibirmu yang mungil itu dengan zikrullah dan kalamullah serta bermunajatlah pada Allah. Percaya dan yakin bahawa Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan mengurniakan maghfirah buat dirimu, sayangku. Kita adalah hamba yang lemah dan sering melakukan kesilapan. Kesilapan akan menguatkan diri kita.
Akhir kali ingin aku katakan, berusahalah sedaya yang kau mampu dan letakkanlah penggantunganmu kepada Allah.
Dari,
Insan yang menyayangi dirimu
- Artikel iluvislam.com

No comments: